EKONOMI

AirAsia giat laksana portfolio digital

KUALA LUMPUR 12 MAC: AirAsia Bhd akan membangunkan portfolio digitalnya sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes.

“AirAsia akan membuat satu lagi penjualan seperti yang dijanjikan. Akan ada penjualan dan pembelian balik satu aset untuk membangunkan portfolio digital kami.”

“Laksanakan semua yang kami katakan. Kini tumpu kepada kumpulan dan struktur digital kami,” katanya dalam catatan di laman twitter beliau hari ini.

Awal bulan ini, Fernandes mengesahkan kumpulan itu akan menjual aset bukan terasnya dan menumpukan kepada operasi teras.

Beliau dilaporkan sebagai berkata keuntungan kumpulan itu dijana daripada penjualan tiket penerbangan dan daripada pendapatan sampingan.

“Perniagaan pajakan bukan satu yang dinilai oleh penganalisis. Itulah sebabnya mengapa kami menjualnya,” kata Fernandes.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengesahkan ia akan menjual pegangannya dalam laman tempahan pelancongan, Expedia, dan penjualan itu dijangka selesai pada akhir tahun.

Kumpulan itu juga merancang menjual segmen makanannya “Santan” dan operasi logistik dan kargo.

Fernandes dalam laman Instagram beliau berkata syarikat itu akan melabur dalam teknologi kewangan seperti “bigpay”, perkhidmatan e-dompet dan kad pra-bayar.

Pada 11.55 pagi hari ini, saham AirAsia meningkat tiga sen kepada RM4.03 dengan 2.05 juta saham diurusniagakan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :