NASIONAL

Amalan doula ekstrem, bahayakan nyawa ibu dan bayi

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Kesihatan menyifatkan, amalan doula di negara ini lebih ekstrem berbanding luar negara, apabila sanggup menasihati wanita yang mengandung bersalin di rumah, tanpa mengira risiko dihadapi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, terdapat juga dalam kalangan doula di negara ini, mengaitkan amalan itu dengan agama, seperti ketika Mariam melahirkan Nabi Isa.

“Jika di luar negara seperti Amerika Syarikat, amalan doula ini tidaklah sampai kepada peringkat menasihati ibu bersalin di rumah atau dalam bahaya.

“Namun, di negara ini, mereka lebih ekstrem apabila menasihati ibu bersalin di rumah, walaupun tidak mengetahui keadaan ibu terbabit, sama ada berisiko tinggi atau tidak.

“Mereka pandai bercakap dan akhirnya ibu ini terpengaruh dan melahirkan bayi di rumah,” katanya ketika menjawab soalan Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) mengenai amalan doula ketika persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, pihaknya bimbang apabila bayi yang dilahirkan di rumah menyebabkan berlaku banyak kematian.

“Doula dalam bahasa Greek bermaksud, hamba wanita yang mana tujuan asalnya membantu wanita hamil seperti memberi nasihat dan membuat urutan tetapi tidak boleh menyambut kelahiran bayi.

“Kalau mereka mahu menyambut kelahiran bayi, mesti berdaftar dan mendapatkan sijil terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata peratus kelahiran tidak selamat menurun di negara ini, daripada 7.1 peratus pada 1990 kepada 1.3 peratus pada 2012 dan 0.42 peratus pada 2016 berbanding purata kelahiran antara 440,000 hingga 450,000 setahun.

Katanya, berdasarkan analisis laporan diterima, tiga faktor utama menyumbang kepada kelahiran tidak selamat iaitu tiada pengangkutan ke fasiliti kesihatan, jarak rumah jauh dari fasiliti kesihatan dan ramai juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersalin di rumah.

“Sejak 2014, peratus kelahiran tidak selamat akibat pengaruh aktiviti doula dalam kalangan kelahiran tidak selamat adalah kurang dari 0.5 peratus.

“Bagaimanapun, terdapat peningkatan bilangan kelahiran tidak selamat membabitkan aktiviti doula di mana dua kelahiran dilaporkan masing-masing pada 2014 dan 2015.

“Bilangan ini meningkat kepada enam kelahiran pada 2016 dan tujuh kelahiran pada 2017. Akibat kelahiran tidak selamat membabitkan doula ini, tiga kematian bayi baru lahir telah dilaporkan iaitu satu kes masing-masing pada 2016, 2017 dan Januari 2018,” katanya lapor Berita Harian.

Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) sama ada Kementerian Kesihatan berhasrat mengiktiraf doula dengan kawalan undang-undang dan sejauh mana kaedah diguna pakai dalam melaksanakan Seksyen 14 (1) Akta Bidan 1966, Dr Hilmi berkata, undang-undang sedia ada cukup jelas iaitu mereka yang menyambut bayi mesti berdaftar.

“Kalau dia tak berdaftar maknanya salah. Jadi itu jelas, cuma ada pihak mengambil kesempatan, cara bercakap, meyakinkan dan pujuk, akhirnya mereka (ibu) termakan pujukan dan bersalin di rumah.

“Nak bersalin di rumah, tak mengapa tetapi mesti ada bidan bertauliah untuk sambut (kelahiran bayi). Paling penting kena tengok risiko. Kalau risiko tinggi, kena bersalin di hospital. Doula boleh jalan cuma sebagai peneman kepada ibu mengandung,” katanya.

=EZY=


Pengarang :