GLOBAL

Amerika hantar askar marin, pesawat F-18 berlatih di Australia

SYDNEY 24 MAC: Amerika Syarikat akan menghantar askar Marin untuk berlatih di Australia, kata menteri pertahanan Australia semalam, ketika Washington mahu melawan sikap agresif China di rantau Indo Pasifik.

Marisa Payne berkata 1,587 askar Kor Marin AS akan menghabiskan enam bulan berlatih di utara Australia, di mana jumlah itu meningkat hampir 27 peratus berbanding latihan sebelum ini, yang dijalankan bawah program Force Posture Initiatives.

“Tentera AS berperanan penting dalam menjamin keselamatan dan kestabilan merentasi Indo Pasifik dan Force Posture Initiatives akan menjadi komponen penting dalam memelihara kestabilan dan keselamatan dalam beberapa dekad akan datang,” kata Payne dalam kenyataan.

Atur gerak itu pertama kali diperkenalkan pada 2011, sebahagian daripada peralihan tumpuan AS ke Asia, dan kini menjadi petunjuk utama komitmen AS bawah Presiden Donald Trump dan kesanggupannya melawan pengaruh China di rantau yang menyaksikan ketegangan memuncak ditengah-tengah pertikaian di Laut China Selatan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, laluan perdagangan penting yang dipercayai mengandungi kuantiti besar minyak dan gas asli, dan sedang membina pulau-pulau buatan di karang-karang, yang mana sesetengahnya lengkap dengan pelabuhan dan landasan kapal terbang.

Dalam satu langkah yang kemungkinan tidak disukai Beijing, Kor Marin AS akan berlatih bersama kakitangan dari Australia, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, yang mana sesetengahnya juga mempunyai tuntutan di Laut China Selatan.

“China akan memantau apa yang AS lakukan dan ia lebih suka jika AS tidak bekerjasama dengan negara-negara Asia lain termasuklah dalam latihan tersebut,” kata Euan Graham, pengarah program keselamatan antarabangsa di sebuah badan pemikir Australia, Institut Lowy.

“China mahu berurusan secara satu lawan satu dengan negara-negara Asia Tenggara yang mempunyai tuntutan,” katanya.

Kor Marin AS juga akan membawa alatan tentera tambahan, termasuk helikopter dan pesawat jet F-18, kata Payne.

Atur gerak ketenteraan itu juga mengancam untuk melemahkan lagi hubungan Australia-China.

Australia yang selama ini sekutu AS yang akrab tidak mempunyai tuntutan di Laut China Selatan, dan ia sudah lama mengekalkan sikap berkecuali dalam pertikaian itu bagi melindungi hubungan ekonomi dengan China.

Tetapi hubungan dua hala itu muram beberapa bulan lalu selepas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata China mencampuri hal ehwal Canberra secara tidak betul, satu tuduhan yang mencetuskan bantahan yang jarang berlaku daripada Beijing.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :