BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Amirudin: Jadi landasan lahir bakat baharu, liga futsal

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kejohanan Kelayakan Liga Futsal Smart Selangor 2018 diharap menjadi landasan bagi melahirkan pasukan dan bakat baharu seterusnya liga futsal di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata perkembangan dan sambutan baik diterima, menjadikan sasaran mewujudkan liga futsal bersistematik tampak realistik.

“Dengan penyertaan sangat baik, saya percaya kita dapat mengambil 60 hingga 70 peratus daripada pasukan semi pro dan amatur dari Lembah Klang terutamanya juga di Malaysia secara keseluruhannya untuk terbabit dalam liga diadakan kelak.

“Saya percaya kita yang pertama berjaya menganjurkan liga bersistematik ini dan berharap ia mampu menjadi penyokong serta pelengkap kepada liga kebangsaan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Kelayakan Liga Futsal Smart Selangor 2018 di sini, semalam.

Berhubung kejohanan itu, beliau berkata, ia adalah siri keempat daripada beberapa siri dianjurkan sebelum ini dan dari situ, akan dipilih 16 pasukan terbaik untuk diserapkan dalam liga futsal akan diadakan kelak.

Melalui penganjuran pertama kejohanan kelayakan itu, katanya, diharap mendapat penyertaan baik seterusnya mampu menghasil pemain juga pasukan baru boleh bersaing dengan pasukan sedia ada.

“Setakat ini kita berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pasukan kerana kejohanan kali ini disertai 80 pasukan dan sebelumnya lebih kurang 100 pasukan.

“Yang penting kita mahu melihat bakat baru dan lebih menarik kejohanan ini kita anjurkan dua kategori iaitu Bawah 17 Tahun dan Terbuka.

“Dengan adanya Bawah 17 Tahun ini, saya berharap ada kesinambungan untuk pembangunan sukan futsal di Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :