BERITA UTAMASUKANKINI

Azizulhasni Awang, Jun Hoong dinobat Olahragawan dan Olahragawati

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MAC: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong, menepati ramalan apabila diumumkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2017 dalam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN), semalam.

Ini merupakan penghargaan kali ketiga buat pelumba berusia 30 tahun dari Dungun, Terengganu yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ selepas kali terakhir pada tahun 2009 dan 2010.

Memetik laporan Astro Arena, beliau sebelum ini memenangi Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2017 berjaya melakar sejarah buat sukan berbasikal negara apabila dinobatkan selaku juara dunia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong dalam acara keirin pada 13 April 2017.

Jun Hoong, yang mengharungi tahun 2017 penuh bergaya apabila bergelar juara dunia dalam acara 10 meter platform wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, turut meraih pengiktirafan tertinggi.

Kejayaan itu menyaksikan Jun Hoong buat julung-julung kalinya memecah dominasi jagoan China dalam acara 10 meter platform wanita dalam kejohanan di peringkat dunia.

Muhammad Ziyad Zolkefli pula memenangi Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala tiada pemenang bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Ziyad meneruskan kecemerlangan apabila muncul pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016 dengan memenangi pingat emas serta melakar rekod baru dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, pula diumumkan selaku Tokoh Sukan Negara.

Anugerah-anugerah ini telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

 

SENARAI PEMENANG ASN 2017:

Olahragawan Kebangsaan: Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan: Cheong Jun Hoong (terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga para)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Tiada pemenang

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Hoki

Pasukan Wanita Kebangsaan: Boling Tenpin lima sepasukan

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Mohd Poad Md Kassim (olahraga)

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Yoong Sze Yuin

Anugerah Khas: Hafizh Syahrin (Permotoran) dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)

Anugerah Kepimpinan: Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (Boling Padang)

Anugerah Tokoh Sukan: Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah


Pengarang :