SELANGOR

Azmin tegur media, jangan lapor berita tidak sahih tentang Selangor!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Media seharusnya berperanan secara kompetitif dan bersikap adil dalam melaporkan berita terhadap pimpinan parti politik di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan agar media tidak bersikap prejudis dengan laporan berita tidak benar dan berunsur fitnah terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Saya tidak ada TV (media peribadi) seperti mereka, hinggakan Selangor nak minta 5 minit di televisyen rasmi (media arus perdana) pun susah.

“Apa yang ada cuma setiap malam, Selangor diserang dan difitnah dengan laporan berat sebelah dan tidak benar.

“Seharusnya pihak media bertanggungjawab melaporkan fakta dan tidak menyebarkan ‘fake news’ seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya pada Majlis Projek Menaik Aras Jambatan dan Projek Membaikpulih Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor terus mendapat liputan meluas media arus perdana dengan laporan berat sebelah yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai ‘berkepentingan’ kepada pentadbiran Putrajaya.

Beliau mengaitkan laporan utama sebuah akhbar rasmi kawalan Umno Barisan Nasional yang memetik kenyataan tidak benar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada siri lawatan turun padangnya di Parlimen Hulu Selangor minggu lalu.

“Perdana Menteri mengeluarkan pelbagai kenyataan, termasuklah isu perumahan yang didakwa terlalu mahal dan tidak munasabah.

“Tetapi Perdana Menteri tidak sedar, 70 peratus harga Rumah Selangorku adalah di bawah RM200,000 berbanding PR1MA dengan harganya yang mencecah sehingga RM400,000.

“Tetapi kenapa media (arus perdana) tidak ketengahkan fakta ini kepada rakyat? Realitinya, Rumah Selangorku adalah paling murah jika dibandingkan Persekutuan dan negeri-negeri lain.

“Kerajaan negeri berjaya yakinkan pemaju untuk bersama-sama mempertahankan kebajikan rakyat meskipun hartanah di Selangor mahal,” katanya.

Pada lawatan Perdana Menteri itu, Najib turut melemparkan retorik janji politik kepada warga Hulu Selangor kononnya mampu mengangkat martabat masyarakat Selangor menerusi pelaksanaan dasar baru di negeri itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin secara berseloroh berkata, rakyat Selangor lebih bijak menilai kejayaan pentadbiran negeri sejak Pakatan berjaya menerajui kepimpinan Selangor pada 2008.

Ia termasuklah keberkesanan dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terus memberi manfaat jangka panjang kepada warga Selangor.


Pengarang :