Foto Sumber: . REUTERS/Yuri Gripas
GLOBAL

Banjir A.S: Lebih 1.5 juta pengguna terputus bekalan elektrik , 9 maut

GLOBAL 5 MAC: Banjir di Timur Amerika Syarikat (AS) menyebabkan lebih 1.5 juta pelanggan masih bergelap awal semalam ketika penduduk di pesisir pantai New England berdepan lebih banyak ancaman banjir.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan bencana itu melanda dua hari selepas ribut kuat menumbangkan pokok dan tiang elektrik serta membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.

Saki-baki ribut dikenali sebagai nor’easter itu terus berlegar semalam walaupun selepas pusatnya bergerak ratusan kilometer ke tengah laut.

Perkembangan itu mendorong pihak berkuasa untuk terus memantau banjir dan mengeluarkan nasihat angin kencang di timur laut AS sehingga pukul 1 petang (waktu tempatan).

Gabenor kedua-dua negeri Massachusetts dan New York mengisytiharkan darurat bencana tengah hari kelmarin susulan pengumuman serupa oleh Gabenor Virginia dan Maryland pada Jumaat lepas.

Langkah itu membolehkan semua negeri terjejas mendapatkan sumber dan bantuan kerajaan Persekutuan.

Ribut nor’easter yang membawa angin selaju 145 kilometer sejam, mengakibatkan air laut membanjiri jalan raya di Boston dan bandar-bandar tepi pantai lain untuk kali kedua tahun ini.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, walaupun angin ribut semakin lemah semalam dan sebahagian besar hujan serta salji bergerak ke luar pantai, banjir dan ombak besar masih boleh melanda kawasan tepi pantai dari Maine, Massachusetts, Rhode Island sehingga ke Long Island di New York

Sementara itu, tujuh orang terbunuh dihempap pokok tumbang di Connecticut, Maryland, New York, Pennsylvania, Rhode Island dan Virginia termasuk dua budak lelaki yang meninggal dunia apabila pokok tumbang menimpa kediaman mereka.

Menurut media tempatan, dua lagi mangsa terkorban dalam ribut itu termasuk seorang lelaki berusia 41 tahun yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Andover, New Jersey.

Perkhidmatan kaji cuaca swasta, AccuWeather berkata, ribut itu menurunkan salji setebal 46 sentimeter(sm) di beberapa kawasan di negeri New York dan Pennsylvania.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :