GLOBAL

Bantu masyarakat Islam di Kemboja miliki al-Quran

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 31 MAC: Kesukaran mendapatkan naskhah al-Quran di Kemboja, menyebabkan ramai pelajar di sekolah agama atau maahad tahfiz di situ terpaksa berkongsi kitab suci, termasuk menggunakan salinan al-Quran yang difotokopi.

Ketua Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ketika memulakan program ke Kemboja pada 1999, umat Islam Kemboja pada waktu itu amat daif kerana tidak mempunyai banyak keperluan seperti al-Quran, sejadah, kain pelikat, telekung wanita dan lain-lain.

“Amat menyedihkan waktu itu, tapi akhirnya ramai dermawan dari Malaysia datang ke Kemboja membawa keperluan tersebut.

“Sehingga kini, keperluan itu masih diperlukan kerana pembukaan sekolah tahfiz semakin bertambah, begitu juga masjid dan surau, malah bilangan penduduk Islam semakin ramai di banyak tempat di Kemboja termasuk di pedalaman,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Penasihat Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdulrahman M Al-Herfi di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan memohon kerjasama dan jasa baik kedutaan Arab Saudi di Malaysia menyumbangkan al-Quran kepada golongan itu.

Sementara itu, Sheikh Abdulrahman memuji sikap Mustapha begitu komited memperjuangkan umat Islam sejagat, khususnya negara yang memerlukan sumbangan sama ada melalui wang ringgit, tenaga mahupun masa.

Saya sejujurnya bangga dengan pencapaian Mustapha dan ini contoh terbaik, malah beliau diberi pengiktirafan oleh pemimpin bukan Islam atas pengorbanan beliau,” katanya lapor Sinar Harian.

Katanya, kejayaan membina empat masjid, beberapa surau dan tiga sekolah agama tahfiz di Kemboja bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi Mustapha telah membuktikannya.

Justeru itu, pihaknya sedia membantu menyumbangkan al-Quran, dengan 1,000 naskhah pelbagai bahasa diserahkan kepada Mustapha untuk diberi kepada negara dilawati, khususnya negara Asean.

=EZY=


Pengarang :