SELANGOR

Bantu pengusaha tingkat hasil pendapatan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA SELANGOR, 23 MAC: Bantuan geran projek pembangunan pertanian yang diberikan Kerajaan Negeri dapat membantu pengusaha meningkatkan hasil pendapatan yang dijalankan, selama ini.

Bagi pengusaha tanaman fertigasi sayur-sayuran, Lim Yuen Kiat, 37, pemberian geran itu menggandakan usahanya, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya amat gembira dengan bantuan ini. Ia sedikit sebanyak dapat membantu daripada segi teknikal dan pembiayaan bagi meningkatkan hasil penanaman saya.

“Diharapkan, saya lebih berusaha untuk menambah hasil-hasil sayuran seterusnya menyumbang kepada pendapatan pertanian, di Kuala Selangor,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sakdum Abdullah, 68, berkata beliau rasa amat bersyukur dengan pemberian berkenaan serta akan terus berusaha dalam menghasilkan tanaman kelapa, di daerah itu.

“Saya memohon geran ini sejak tahun lalu dan tidak sangka permohonan ini berjaya. Saya berharap geran ini dapat membantu melaksanakan projek tanaman kelapa dengan lebih konsisten,” katanya yang ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Penyampaian Penyampaian Geran Pembangunan Projek Pertanian, di Pejabat Pertanian daerah Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan dan Pertanian Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, menyerahkan geran bernilai RM3.3 juta kepada 54 wakil projek pembangunan pertanian, di daerah Kuala Selangor.

Ia dikendalikan di bawah Jabatan Pertanian daerah Kuala Selangor membabitkan 1,576 peserta untuk aktviti pertanian seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, herba, cendawan,fertigasi, kelulut dan industri asas tani.


Pengarang :