SELANGOR

Bas Smart Selangor laluan Batang Kali dipinda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 MAC : Laluan Bas Smart Selangor di Batang Kali dipinda bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik mulai hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, beliau sudah berbincang dengan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk memanjangkan lagi laluan bas berkenaan.

“Selepas saya menaiki Bas Smart Selangor, berita gembira mahu disampaikan kepada penduduk Batang Kali, Ulu Yam dan Antara Gapi.

“Laluan bermula dari Stesen Komuter Batang Kali bertambah dari satu arah ke dua arah iaitu Arah Antara Gapi dan Arah Bandar Utama Batang Kali,” katanya dalam kenyataan.

Kee Hiong berkata, laluan juga bakal dipanjangkan ke Kampung Sungai Masin dan Desa Alam Ria.

Pada 2016, MDHS mula dilengkapi dua Bas Smart Selangor bagi laluan membabitkan jajaran Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bharu dan Jajaran Stesen Komuter Batang Kali ke Ulu Yam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan.

Katanya, ia turut membabitkan laluan di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi, di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ridership dalam tempoh tiga tahun,” katanya.


Pengarang :