PBTSELANGOR

Bas Smart Selangor MPAJ, terima 245,213 penumpang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Seramai 245,213 pengguna menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi tempoh Februari lalu.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussein berkata, perkhidmatan bas percuma itu menerima sambutan baik daripada masyarakat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Penyediaan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang telah beroperasi selama dua tahun di MPAJ melalui tiga laluan Bas Smart Selangor, telah mendapat sambutan baik dari pengguna.

“Malah ada penduduk memohon laluan ini diperluaskan lagi bagi memudahkan pengguna pengangkutan awam.

“Pada 2017 jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor adalah seramai 803,972 orang.

“Manakala bagi Januari dan Februari 2018 ialah seramai 245,213 orang,” katanya ketika berucap pada satu majlis, baru-baru ini.

Terdahulu, MPAJ merupakan PBT kelima yang menyediakan perkhidmatan bas percuma itu di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, perkhidmatan bas yang dikendalikan Rapid Bus Sdn Bhd itu menghubungkan antara Jalan Ukay Perdana dan Jalan Taman Melawati sejauh 18 kilometer dengan kekerapan setiap 15 dan 20 minit.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta bagi kawasan MPAJ dan Kajang dan menyediakan peruntukan tambahan perkhidmatan bas percuma itu bagi kawasan luar bandar.

=EZY=


Pengarang :