AGAMASELANGOR

Bekas Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak dirai dalam majlis perpisahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 16 MAC: Bekas Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Zainal Abidin Sulaiman, yang berpindah ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diraikan, dalam satu majlis perpisahan.

Beliau yang dinaikkan pangkat ke gred S52 itu diraikan pada majlis yang turut dihadiri Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan beberapa kenamaan lain serta warga kerja Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak.

Ketika menyampaikan ucapannya, Zainal Abidin berkata, walaupun sayu meninggalkan rakan lama di PAID Gombak, namun tetap berazam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, di tempat baru nanti.

“Sayu kerana saya jangka hendak bersara di Gombak, namun saya diberi tanggungjawab di tempat baru pula dan akan terus bekerja untuk memberi manfaat kepada semua pihak.

“Sepanjang saya bertugas di sini, saya bersyukur dengan pencapaian peribadi, pencapaian jabatan dan semua warga kerja di PAID Gombak,” katanya pada majlis yang diadakan di Dewan Haji Wan Mahmood, Kompleks Agama Islam Daerah Gombak, semalam.

Sementara itu, Wan Mahmood menyifatkan, Zainal Abidin sebagai seorang pegawai yang lemah lembut dan sentiasa menghormati semua pihak tanpa mengira kedudukan.

“Ketika di mula bertugas di sini, mulanya saya sangka dia ‘tersalah jabatan’ kerana saya rasa seharusnya dia seorang diplomat bukan pegawai agama disebabkan sangat berdiplomasi,” katanya.

Haris pula menyifatkan, Zainal Abidin bukan sahaja pegawai yang mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan, malahan penceramah agama yang dikagumi.

“Ceramah atau tazkirah yang beliau sampaikan sangat menarik perhatian pendengar,” katanya.


Pengarang :