SELANGOR

Beri perhatian hutang negara, elak beban generasi masa depan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan soal hutang negara perlu diberi perhatian khusus kerana ia membebankan generasi akan datang.

Perkara itu merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyatakan isu air di Selangor lebih teruk daripada isu 1MDB.

Mohamed Azmin berkata, ia satu perbandingan yang tidak adil dan tidak wajar dizahirkan seorang pemimpin tertinggi negara, apatah lagi dibuat di dalam Dewan Rakyat.

“Hutang negara melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga menjadi keprihatinan majoriti rakyat Malaysia, di mana kita tidak boleh remehkan perkara itu yang semakin ‘membengkak’ sebab yang akan bayar hutang negara ini ialah anak, cucu-cicit dan generasi akan datang,” katanya.

Perkara itu dinyatakan bagi menjawab soalan tambahan ADN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta Kerajaan Negeri mengulas kenyataan Perdana Menteri di Parlimen mengenai isu air Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut membidas kenyataan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang yang menyalahkan Kerajaan Selangor berkenaan isu air.

“Sebagai seorang ‘regularor’ industri air beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas, tidak berfakta.

“Ini membimbangkan kita sebab industri perkhidmatan air bukan saja Selangor malah negara juga akan terjejas apabila ‘regulator’ ini seorang yang tidak profesional untuk selesaikan masalah dihadapi rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :