SELANGOR

Berita Singapura, lapor kredibiliti terbaik pimpinan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 MAC : Dua pimpinan utama Kerajaan Selangor dipetik sebagai individu berpotensi diangkat sebagai pimpinan utama masa depan negara, lapor berita atas talian Singapura, Channel New Asia.

Laporan itu mendedahkan, Speaker Dewan Negeri, Hannah Yeo dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang disifatkan mempunyai kredibiliti terbaik untuk memacu pembinaan masa depan negara.

“Kelebihan Pakatan kini kerana kemampuan gabungan itu mentadbir negeri maju iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang mempunyai sumber ekonomi terbaik dengan gaya urbanisasi dan peningkatan pelbagai peluang industrinya.

“Justeru, kepesatan ini dapat dimanfaatkan pentadbiran negeri dengan menempatkan pimpinan muda di posisi terbaik untuk menyumbang pengalaman dan kredibiliti masing-masing.

“Walaupun komponen Kerajaan Persekutuan mempunyai sayap kepimpinan muda masing-masing, namun pemimpin muda Pakatan turut diberi peluang untuk bersinar.

“Hannah Yeoh berusia 39 tahun merupakan Speaker Dewan termuda dalam kalangan wanita pertama di Malaysia, dan Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad yang baru berumur 36 tahun dan kini menerajui pentadbiran tertinggi di Selangor,” menurut laporan itu.

Selain pimpinan Selangor, pimpinan Pusat, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Ong Kian Ming dan Liew Ching Tong turut dinamakan sebagai pemimpin legasi masa depan negara.

Turut dinamakan, Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang kini memegang portfolio Pertanian dan Industri berasaskan Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri Selangor, pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tampil mengetengahkan pimpinan muda untuk diberi peluang berada dalam kepimpinan tertinggi negeri.

Selain Hannah Yeoh dan Nik Nazmi, Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari turut diberi tanggungjawab memastikan pembangunan belia Selangor diberi perhatian di bawah portfolio Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor juga kini dianggotai pimpinan muda berkredibiliti dari komponen Pakatan yang dilihat mempunyai peranan terbaik menyuarakan pandangan di Dewan Negeri Selangor (DNS).


Pengarang :