NASIONAL

Bersihkan nama, Jho Low perlu dihadapkan ke mahkamah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Hartawan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, individu utama dalam skandal 1MDB, perlu segera pulang ke Malaysia dan membersihkan nama beliau dengan menyerah diri untuk didakwa di mahkamah negara ini.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, Jho Low wajib membersihkan nama beliau di negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, seluruh negara malah dunia dikejutkan dengan berita tergempar rampasan kapal mewah Equanimity bernilai RM1 bilion oleh polis Indonesia di Bali, semalam.

“Berdasarkan siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap skandal 1MDB, kapal mewah itu didakwa dimiliki Jho Low.

“Polis Indonesia berkata, rampasan kapal mewah itu dibuat dengan kerjasama FBI dari Amerika Syarikat, memandangkan DOJ mendakwa kapal mewah ini dibeli Jho Low menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia menerima baik berita rampasan kapal mewah ini, namun kita juga malu kerana ia menunjukkan bagaimana tindakan undang-undang berkaitan skandal 1MDB kelihatan hanya berlaku di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Switzerland dan terkini Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata, Peguam Negara perlu memulakan tindakan mahkamah terhadap Jho Low dan lain-lain individu yang dipercayai terbabit dalam skandal 1MDB, tidak kira siapa atau jawatan apa yang dipegang.

“Selagi Jho Low tidak dihadapkan ke mahkamah di Malaysia mahupun mana-mana negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, selagi itu persepsi keterlibatan Jho Low dan individu lain dalam skandal penyelewengan wang 1MDB akan mengukuh,” katanya.


Pengarang :