Foto ihsan JBPM Kuala Lumpur
NASIONAL

Bomba: Litar pintas dipercayai punca kebakaran stor IFPN HKL

KUALA LUMPUR 17 MAC: Kebakaran di stor penyimpanan peralatan Makmal Jabatan Patologi di Institut Forensik Perubatan Negara (IFPN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata stor penyimpanan yang terbakar melibatkan peralatan bedah siasat yang diperbuat daripada plastik.

Beliau berkata kebakaran pada kira-kira 12.15 tengah hari itu menyebabkan dua petugas yang berada di dalam stor di tingkat bawah bangunan berkenaan terperangkap, namun kedua-duanya sempat naik ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba.

“Susulan itu, pihak HKL telah mengambil tindakan dengan menutup suis elektrik di makmal itu termasuklah membawa keluar kira-kira 150 tong oksigen ke tempat selamat.

“Selain itu, bomba juga mengalihkan bahan kajian HKL yang diletakkan di dalam peti sejuk dan mengalihkan 19 mayat dari bilik mayat ekoran suis peti sejuk ditutup,” katanya pada sidang akhbar di IFPN di sini.

Khirudin berkata, stor berkenaan terbakar 100 peratus tetapi kebakaran tidak merebak ke bahagian lain kerana api berjaya dikawal pihak bomba dalam masa setengah jam.

“Pengoperasian HKL berjalan seperti biasa kecuali di makmal stor penyimpanan itu yang ditutup sementara untuk siasatan forensik kebakaran.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 12.20 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian bersama lima jentera bomba antaranya dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan KLCC dengan jumlah keanggotaan sebanyak 31 anggota serta lapan pegawai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petugas HKL kerana memanggil pasukan Emergency Response Team HKL sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :