GLOBAL

Britain usir 23 diplomat Rusia

GLOBAL 15 MAC: Britain akan mengusir 23 diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan toksin saraf terhadap bekas perisik Rusia di selatan England, kata Perdana Menteri Theresa May pada hari Rabu.

May menyifat serangan itu sebagai penggunaan kekerasan haram oleh Rusia terhadap United Kingdom.

Diplomat Rusia yang diusir itu diberi seminggu untuk meninggalkan Britain, kata May.

May berkata Britain juga akan memperkenalkan langkah baru untuk mengukuhkan pertahanan terhadap aktiviti-aktiviti ancaman, membekukan aset negara Rusia jika ada bukti ancaman, dan mengurangkan kehadiran di kejohanan bolasepak Piala Dunia di Rusia pada musim panas ini.

Rusia, yang menafikan sebarang keterlibatan dalam serangan itu, menganggap langkah yang diumumkan May itu sebagai “tidak dapat diterima, tidak adil dan berfikiran pendek” dan memberi amaran kepada Britain akan tidak balas pihaknya.

 

Tidak seperti apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ke atas Rusia sebagai tindak balas kepada pencerobohan di Crimea dan tindakan lain di Ukraine, May tidak menamakan individu Rusia atau syarikat-syarikat yang akan disasarkan khusus oleh sekatan itu.

Bekas ejen Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya Yulia, 33, ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku di bandar Salisbury pada 4 Mac dan masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal. Seorang pegawai polis turut cedera dan masih dalam keadaan serius.

Skripal (gambar) mengkhianati puluhan ejen Rusia kepada Britain sebelum ditangkap di Moscow dan kemudian dipenjara pada tahun 2006. Dia dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran perisik pada tahun 2010 dan berlindung di Britain.

May telah berkata Skripals diserang dengan novichok, ejen bahan saraf tentera era Soviet. Dia telah meminta Moscow menjelaskan sama ada ia bertanggungjawab atas serangan itu atau kehilangan bahan yang sangat berbahaya itu.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :