GLOBAL

Coincheck ganti rugi pelanggan RM1.7 bilion akibat digodam

GLOBAL 13 MAC: Coincheck memaklumkan pada Selasa yang syarikat itu membayar balik lebih AS$440 juta (RM1.7 Bilion) kepada pelanggannya selepas sistem mereka digodam pencuri aset digital.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan syarikat berpangkalan di Jepun itu berkata mereka menggunakan dana sendiri bagi membayar balik sejumlah 46.6 bilion yen (AS$440 juta) kepada seramai 260,000 pelanggan yang hilang pegangan NEM, iaitu mata wang digital ke-10 terbesar menerusi permodalan pasaran.

“Segala prosedur telah selesai melibatkan kesemua 260,000 akaun pelangan,” kata jurucakap syarikat Yosuke Imai kepada AFP.

Pada 26 Januari lepas, firma itu mengesan satu ‘akses tidak dibenarkan’ melakukan transaksi sebelum menggantung dagangan untuk semua mata wang kripto kecuali Bitcoin.

Kerugian yang dialami sebanyak AS$530 juta (RM2.05 bilion) iaitu lebih tinggi berbanding nilai Bitcoin yang hilang daripada syarikat MtGox pada tahun 2014.

MtGox yang berpangkalan di Tokyo menamatkan operasi selepas kehilangan sebanyak 850,000 Bitcoin bernilai kira-kira AS$480 juta (RM1.86 bilion) pada waktu itu.

Sejumlah akhbar utama Jepun melabel pengurusan Coincheck sebagai ‘cuai’ dan mendakwa syarikat berkenaan ‘mengembangkan bisnes dengan meletakkan kese­lamatan sebagai perkara kedua’.

Media tempatan juga menyatakan Agensi Perkhidmatan Kewangan dijangka mengambil tindakan disiplin ke atas Coincheck susulan kecurian itu. Coincheck mendakwa pihaknya adalah peneraju dalam bidang pertukaran Bitcoin dan mata wang kripto di Asia.

SUMBER: AFP


Pengarang :