SUKANKINI

Cub Prix: Fazli tekad buktikan usia bukan halangan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MAC: Ahmad Fazli Sham tekad membuktikan usia bukan halangan untuk terus mencipta kejayaan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018.

Pelumba berusia 36 tahun itu dan paling senior dalam kelas perdana CP150 itu akan mewakili pasukan baharu, OneXOX TKKR Racing bersama Khairul Ikhwan Ajis dan Mohd Hafiza Rofa bagi memulakan pusingan pembukaan di Litar Tangkak, Johor, bermula esok hingga 1 April ini.

Bekas pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor sudah menceburkan diri selama lebih 15 tahun di dalam Kejuaraan Cub Prix, percaya belum masanya untuk berundur dan kudratnya masih mampu memberikan saingan kepada barisan pelumba lebih muda dan pantas.

“Memang tidak dapat dinafikan, kemampuan saya mungkin tidak seperti dulu tetapi dengan pengalaman yang ada rasanya tidak ada masalah untuk saya memberikan saingan di kelompok depan.

“Pasukan tidak meletak sebarang sasaran tinggi kepada saya namun saya akan tetap memberikan yang terbaik pada setiap perlumbaan,” katanya juara Expert 2007 dan 2008 itu.

Beliau berkata, fokusnya kini sedikit berbeza dengan tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengejar kemenangan seperti sebelum ini sebaliknya mahu membantu pasukan mendapatkan pelarasan jentera terbaik dan memberi tunjuk ajar kepada pelumba lain.

“Banyak kejayaan sudah dicapai selama ini dan saya antara pelumba sempat bersaing dengan semua generasi pelumba sepanjang 25 tahun penganjuran Cub Prix.

“Pengalaman itu perlu dicurahkan kepada generasi muda hari ini,” katanya.

Sejarah Fazli bermula seawal 2001 sebelum dilamar pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada 2003. Sepanjang kariernya, beliau hanya pernah berpindah ke pasukan Pennzoil Fastrac Racing pada 2011 sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor pada tahun berikutnya.

Kemuncak kariernya apabila bergelar juara Expert pada 2007 dan 2008 selain pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada 2009.

Fazli memegang rekod pelumba paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana (Expert, CP130 dan CP150) sebanyak 21 kemenangan.


Pengarang :