SUKANKINI

Denda RM1.5 juta gagal daftar Liga Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenakan denda sebanyak RM1.5 juta ke atas pasukan Liga Super yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia.

FMLLP dalam kenyataannya berkata, pasukan 100PLUS Liga Premier yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pula akan dikenakan denda sebanyak RM 500,000.

Manakala hukuman sekatan perpindahan pula, hanya pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sahaja akan dikenakan hukuman tersebut sehingga segala dokumen telah lengkap dan selesai.

“Bagi hukuman pemotongan mata, sebanyak 6 mata akan dipotong bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen, manakala sebanyak 3 mata pemotongan bagi pasukan yang lewat melengkapkan dokumen.

“Namun, pemotongan mata tersebut merupakan hukuman tertangguh yang akan dilaksanakan jika pasukan terbabit melakukan apa-apa kesalahan mengikut Manual Liga Malaysia 2018 dan peraturan ditetapkan FMLLP dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula dari sekarang sehingga 31 Disember iaitu pada waktu pendaftaran untuk musim 2019,” katanya.

FMLLP sebelum ini pernah melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

Terdapat 10 pasukan yang boleh dikenakan hukuman antaranya enam daripada pasukan yang lewat melengkapkan dokumen iaitu pasukan MIFA, UKM FC, Selangor, PKNS FC, PDRM dan Kuala Lumpur manakala baki empat pasukan lagi adalah yang gagal melengkapkan dokumen iaitu pasukan Kelantan, Kuantan FA, Sarawak dan Pulau Pinang.

FMLLP masih mengamalkan semangat kerjasama bersama pasukan dan atas nasihat Tunku Pengerusi serta dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FMLLP, peluang diberi kepada semua pasukan untuk tidak dipotong mata serta merta tetap sebagai satu pengajaran kepada pasukan untuk lebih efisien pada masa akan datang.

Kesemua pasukan terbabit diberi masa 14 hari bagi membuat rayuan bagi pengurangan hukuman tersebut.

=EZY=


Pengarang :