Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
NASIONAL

Denggi meningkat, 3 kematian direkodkan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Kes demam denggi mencatatkan peningkatan sebanyak 52 kes (4.4 peratus) pada minggu ke lapan iaitu sejumlah 1,224 kes dilaporkan berbanding 1,172 kes pada minggu ke tujuh, tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian direkodkan pada minggu sama akibat Denggi dari Perak, Sarawak dan Pahang.

Katanya, ketiga-tiga kes kematian itu membabitkan warga emas 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Bagaimanapun hasil pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu ke lapan mendapati jumlah kumulatif kes Denggi direkodkan sehingga 24 Februari adalah 9,072 kes berbanding 14,513 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 5,441 kes (37.5 peratus).

“Sementara 20 kematian dicatatkan untuk tempoh sama, berbanding 40 kematian dilaporkan pada 2017 iaitu penurunan 20 kes (50 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, sehingga 24 Februari, sejumlah 383 lokaliti demam denggi masih aktif di 11 negeri.

Selain itu, terdapat 36 lokaliti hotspot semasa dilaporkan melibatkan empat negeri iaitu 30 di Selangor, (3) Perak, (2) Sabah dan (1) Pulau Pinang.


Pengarang :