SELANGOR

Denggi Selangor catat penurunan 12%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 MAC: Kes wabak denggi di Selangor mengalami penurunan 12 peratus, berbanding tahun lalu bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sebanyak 648 kes dilaporkan sehingga 17 Februari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, Petaling Jaya mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 206 kes diikuti Hulu Langat (116 kes).

“Manakala, Klang (165), Gombak (86), Sepang (19), Kuala Langat (28), Hulu Selangor (14), Kuala Selangor (7) dan Sabak Bernam (7),” katanya kepada SelangorKini.

Dr Daroyah berkata, faktor penurunan kes denggi terbabit adalah daripada usaha bersepadu Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bersama masyarakat setempat.

“Kawalan pencegahan dilaksanakan secara berterusan. Kita turut melantik ahli majlis di setiap kawasan menjadi Pengerusi Kawalan Denggi bagi memastikan kawasan mereka bukan hotspot,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mahu penduduk setempat terus membantu bersama Kerajaan Negeri dalam usaha ini.

“Sebagai contoh, di Petaling Jaya, sebanyak 170 pasukan SEDAR (Search and Destroy) diwujudkan pembabitan masyarakat. Usaha seperti ini sangat digalakkan,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kumulatif kes pada 2017 sebanyak 6,693 kes dan 4090 kes sehingga Mac ini.

Manakala, sebanyak 241 jumlah lokaliti wabak aktif, 41 hotspot, 12 wabak tidak terkawal, 181 wabak terkawal dan tujuh wabak baru.


Pengarang :