SELANGOR

‘Dita Creative’ buah tangan terbaru INPENS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) terus mengorak langkah menerusi pembukaan butik menjahit dalam kampusnya, iaitu Dita Creative.

Institusi itu di laman sesawangnya berkata, butik berkenaan dikelolakan di bawah kursus sektor tekstil dan pakaian INPENS.

Katanya, ia bertujuan mendedahkan pelajar berkenaan rekaan fesyen pembuatan pakaian wanita terkini.

“Pelajar juga akan mengadakan pertunjukan fesyen sebagai salah satu cara menonjolkan bakat masing-masing, di samping diperkenalkan dengan teknik memotong, menjahit dan menguasai mesin jahit terkini supaya mereka didedahkan kepada senario industri fesyen negara ini,” katanya.

Perkataan ‘dita’ yang berasal daripada bahasa Itali bererti jari jemari, sekali gus membawa maksud ‘Jari Jemari Kreatif’ kepada butik berkenaan.

Butik terbabit mula beroperasi, pada awal Februari lalu dan turut mengambil pelbagai tempahan pakaian wanita, lelaki juga kanak-kanak.

Selain itu, tempahan baju bagi sambutan Aidilfitri tahun ini juga mula dibuka kepada umum.

Orang ramai yang berminat untuk menghantar tempahan baju atau mengajukan sebarang pertanyaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Zalina Rahmat di talian 013-3960104 atau Che Muhamad 019-3646758.


Pengarang :