SELANGOR

DNS bahas usul tangguh dewan, bincang isu SPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan membahaskan usul tergempar bagi penangguhannya untuk membincangkan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), pada jam 2.30 petang ini.

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata isu dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv, diterima dan akan dibahaskan seperti dinyatakan.

“Usul dikemukakan berhubung tindakan SPR untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen dalam masa terdekat.

“Maka DNS dengan kuasa sedia ada, menganggap wajar ia dibahaskan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Rajiv mengemukakan usul terbabit bagi penangguhan mesyuarat di bawah peraturan 17 yang berkaitan dengan kepentingan awam.

Beliau mendakwa, tindakan SPR itu tidak adil di dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya dan meminta DNS menggesa SPR menarik balik cadangan asal serta mengemukakan cadangan baharu.

Usul dikemukakan Rajiv berdasarkan perkara iaitu tindakan SPR untuk tidak melaksanakan pendengaran awam lebih daripada seratus kumpulan pembantah syor dua proses persempadanan semula.

Ia juga merujuk kepada laporan itu akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang Parlimen dalam masa terdekat serta persempadanan semula akan memberi impak besar terhadap keadilan proses pilihan raya akan datang.

=EZY=


Pengarang :