SELANGOR

DNS lulus pindaan enakmen hutan, denda lebih berat penceroboh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ni meluluskan cadangan Rang Undang-Undang Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (pindaan) 2018 yang memberi hukuman berat terhadap penceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) sekaligus menjadi negeri pertama melaksanakan pindaan itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, pindaan itu bertujuan mengekang individu daripada melakukan kesalahan dengan menaikkan jumlah denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Manakala, penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Katanya, pindaan itu akan meningkatkan lagi perlindungan hutan sedia ada serta memberi saranan pencegahan kepada semua.

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri mengutamakan pemuliharaan dan konservasi hutan sebagai langkah kelestarian masa depan rakyat serta generasi akan datang.

“Melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Kerajaan Negeri mewujudkan perlindungan hutan lima bintang yang terbaik di Malaysia.

“Walaupun Selangor pesat membangun pesat membangun, namun khazanah alam semulajadi tetap dijaga. Kebelakangan ini pihak Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (SPRM) giat menyerbu dan menangkap individu atau penceroboh hutan simpan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Annexe.

Elizabeth berkata penguatkuasaan bagi undang-undang baru itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, beliau memaklumkan hak Orang Asli tetap dipelihara mengikut Akta 134 walaupun pindaan itu dilakukan.

 

Pindaan dan Hukuman

Beliau berkata pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 kepada Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 2018 membabitkan pindaan kepada Seksyen 5 berhubung dengan perwakilan kuasa oleh Pengarah Perhutanan Negeri dan Pindaan kepada seksyen-seksyen yang membabitkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan Seksyen baharu 103A, 103B dan 110B.

Antara pindaan diluluskan:

1) Seksyen 5 Enakmen No 5 1985 dipinda 5 (1)(a) dengan tujuan pengoperasian di jabatan dan perlu meluaskan skop perwakilan kuasa oleh Pengarah Hutan Negeri kepada mana-mana yang dilantik di bawah Enakmen.

Perwakilan itu tidak seharusnya terhad kepada Penolong Pegawai Hutan Daerah sahaja kerana Pengarah Perhutanan Negeri boleh menurunkan kuasanya kepada mana-mana pegawai hutan yang melaksanakan tugas di bawah enakmen itu.

2) Seksyen 15 Enakmen NO 5 1985 dipinda dalam perenggan 15 (2) dengan menaikkan jumlah denda tidak kurang dari RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan membabitkan hasil utama hutan dan hasil kecil hutan yang isipadunya kurang daripada 2 meter padu dan lebih daripada 2 meter padu di kawasan HSK dan tanah kerajaan.

3) Seksyen 40 Enakmen No 5 1985, memperincikan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang lima tahun serta tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan membabitkan lesen pemindah hasil utama hutan dan hasil kecil hutan yang isipadunya kurang daripada 2 meter padu dan lebih daripada 2 meter padu di tanah beri milik, tanah di bawah lesen pendudukan sementara, tanah lombong dan tanah rizab.

4) Seksyen 86 Enakmen No 5 1985, memperincikan dan menaikkan kadar denda tidak kurang RM100,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Ia dilaksanakan bagi kesalahan melancung, mencacat dan memiliki alat melancung, tanda pokok dan kayu atau mengubah sempadan.

 

 


Pengarang :