BERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

Dulu tiada GST pun Kerajaan Persekutuan boleh bayar hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 MAC: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang negara akan meningkat dengan mendadak sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan ditempelak.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hutang negara meningkat disebabkan sikap kerajaan rejim kleptokrasi yang cenderung berbelanja besar.

“Dulu tiada GST boleh pula kerajaan bayar hutang. Tiada satu tahun pun kita tak boleh bayar hutang dan sebelum GST dilaksanakan pada 1 April 2015 Kerajaan juga ada hutang tetapi tiap-tiap tahun hutang dibayar, tiada masalah.

“Kalau kerajaan prihatin jangan manipulasi harga projek, tutup ketirisan, elak rasuah, bukan hendak buat projek besar dan berbelanja besar. Tak perlu GST pun.

“Untuk mengatakan kalau kita tak kenakan GST kepada rakyat Malaysia kita akan gagal bayar hutang kita, itu bukan bukan disebabkan oleh tiada GST tetapi disebabkan pengurusan ekonomi yang buruk oleh rejim kleptokrasi yang ada hari ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, GST diperkenalkan bagi mendapatkan sumber kewangan yang besar untuk kerajaan berbelanja besar dan bukannya untuk memperbaiki ekonomi.

Katanya, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pernah membangkitkan ketidaksamaan agihan pendapatan di antara golongan menengah dan rendah yang membimbangkan di Malaysia perlu diatasi dengan mengambil beberapa langkah progresif.

Katanya lagi, Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia melaksanakan penstrukturan semula cukai korporat dan cukai pendapatan yang lebih bersifat lebih adil apabila cukai ini hanya melibatkan golongan menengah sahaja.

“Jika susun semula cukai ini orang kaya kena cukai lebih, orang miskin tak kena cukai tetapi Najib atau rejim kleptokrasi ini memilih GST sedangkan cukai GST ini regresif bermakna beban ditanggung lebih besar dan berat oleh orang miskin, semakin miskin kamu semakin besar beban yang kamu tanggung di bawah cukai GST,” katanya lagi.

Sebelum ini, Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan bertema ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ menjanjikan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

=EZY=


Pengarang :