BERITA UTAMAKENYATAAN MEDIASELANGOR

Embargo Speaker terhadap laporan SPR adalah pengkhianatan demokrasi

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk embargo Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di Semenanjung Malaysia adalah pengkhianatan yang cukup teruk ke atas 25 juta rakyat Malaysia dan demokrasi berparlimen. Ianya wajar mendapat kutukan dari setiap pelusuh tanah air.

Cadangan SPR sudah dipaparkan secara umum dalam beberapa versi sejak 18 bulan lalu. Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam berikutan ianya mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen. Tindakan Speaker jelas menunjukkan beliau bersikap tidak adil.

Selaku ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik. Maka, perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan.

Cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif mencorakkan karakter kaum dan etnik terhadap daerah mengundi. Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia. SPR tidak seharusnya menjadi alat politik, apalagi politik berasaskan kaum, mereka sudah berikrar untuk menjunjung Malaysia yang demokratik dan harmoni.

Ini adalah antara kegagalan SPR yang dicuba dicabar Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah. Malah, kita masih mencabar SPR di mahkamah sehingga hari ini.

InsyaAllah, kebenaran bersama kita.


Pengarang :