SUKANKINI

EPL: Jaringan Salah-Mane kembalikan Liverpool ke tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 4 MAC: Liverpool kembali melonjak ke tangga kedua sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam dengan kelebihan satu mata di hadapan Manchester United selepas berjaya mengatasi cabaran Newcastle United 2-0 di Anfield awal pagi tadi.

Beraksi di laman sendiri, Liverpool yang menguasai lebih 75 peratus perlawanan babak pertama nyata buntu memecah kekebalan pertahanan Newcastle walaupuln menampilkan trio serangan digeruni Roberto Firmino-Sadio Mane-Mohamed Salah.

Peluang terbaik Liverpool hadir pada minit ke-16 menerusi rembatan Mohamed Salah yang mencari bahagian tepi gawang lawan tetapi tidak menepati sasaran.

Sehinggalah ke minit-40, Mohamed Salah akhirnya menebus kehampaan dengan gol pertama perlawanan selepas tenang mengawal tolakan Alex Oxlade-Chamberlain sebelum menolak mudah melepasi penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Gol pertama perlawanan itu merupakan jaringan ke-32 Mohamed Salah bersama Liverpool dalam semua kejohanan setakat ini.

Menuju waktu rehat babak pertama, Mohamed Diame memaksa penjaga gol Liverpool, Loris Karius melayangkan badan untuk menolak keluar percubaan dari luar kotak penalti bagi keputusan 1-0 kekal selepas 45 minit permainan.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55 selepas berjaya melepaskan rembatan dalam kotak penalti menerusi gerakan bersama Roberto Firmino. Jaringan itu merupakan gol ke-200 Liverpool dibawah kendalian Jurgen Klopp.

Liverpool menggandakan asakan untuk menambah jaringan tetapi benten pertahanan skuad bimbingan bekas pengendali The Reds, Rafa Benitez kekal bertahan yang menyaksikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas 29 perlawanan, Liverpool berjaya mengutip 60 mata dan bakal bertemu Manchester United di Old Trafford minggu hadapan.

Foto Kredit: Daily Express


Pengarang :