GLOBALSUKANKINI

EPL: Matic pastikan kebangkitan Manchester United

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 6 MAC: Ledakan minit akhir Nemanja Matic memastikan kebangkitan dramatik Manchester United untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace dalam aksi tunggal Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Aksi babak pertama menyaksikan Palace terlebih dahulu di hadapan menerusi Andros Townsend, pada minit ke-11 selepas berjaya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan David De Gea.

Patrick van Aanholt menjadikan kedudukan 2-0 buat Palace, pada minit ke-48 apabila melakukan larian solo menerusi satu sepakan percuma pantas dan merembat rendah menewaskan De Gea.

Chris Smalling memulakan kebangkitan United menerusi gol pertama pada minit ke-55 selepas menanduk mudah hantaran Antonio Valencia.

Minit ke-76, Romelu Lukaku menyamakan kedudukan 2-2 buat United apabila memanfaatkan bola yang terlebih dahulu terkena palang hasil percubaan Alexis Sanchez sebelum melepaskan sepakan ke gawang Palace.

Ketika perlawanan seolah bakal berakhir dengan keputusan seri, Matic memastikan United pulang dengan tiga mata apabila melepaskan rembatan di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring Palace.

Keputusan itu menyaksikan United kembali ke tangga kedua mengatasi Liverpool dengan 62 mata menjelang pertemuan kedua pasukan di Old Trafford hujung minggu ini.

Foto Kredit: Google.com

 


Pengarang :