SUKANKINI

Exco FAM tak setuju TMJ letak jawatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 MAC: Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bersetuju dengan hasrat Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melepaskan jawatan dan berharap Baginda tidak berbuat demikian.

Naib Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sejak mengambilalih jawatan Presiden, Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor memainkan peranan besar bagi mengubah landskap bola sepak negara.

“Rayuan saya supaya Tunku Ismail tidak meletak jawatan.

“Baginda bukan saja memperbaiki struktur bola sepak negara terutama dalam meningkatkan nilai Liga Malaysia, malah kini sedang berusaha memastikan Malaysia berada dalam kalendar penganjuran kejohanan antarabangsa bermula dengan menjadi tuan rumah Kejuaraan B-16 AFC 2018 pada September ini dan membuat bidaan sebagai tuan rumah Kejuaraan B-23 AFC 2020,” katanya.

Ia disokong Datuk S Sivasundaram yang menganggap tidak mudah mencari individu seperti Tunku Ismail yang sentiasa mahukan penambahbaikan dengan idea baharu seiring dengan perkembangan bola sepak moden.

“Bagi saya, hanya Baginda memiliki ciri berkenaan untuk terus bergelar Presiden FAM, bukan hanya bagi tempoh setahun, malahan untuk jangka panjang bagi menampakkan kesinambungan terhadap apa Baginda sedang usahakan ketika ini,” kata Naib Presiden FAM itu.

Sebelum ini, Tunku Ismail meluahkan hasratnya untuk meletak jawatan selaku Presiden FAM ekoran Malaysia jatuh ke ranking 178 dunia.

“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh 3 anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!

“Oleh itu, Beta rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya,” titahnya.

Tunku Ismail bertitah, sepanjang mengetuai FAM, Baginda telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik penaja untuk menyumbang dan menyediakan pelan jangka panjang seperti melakukan kerjasama bersama LaLiga.

Baginda juga memperjuangkan hak penyiaran untuk semua pasukan di Liga Malaysia untuk meningkatkan kestabilan kewangan.

“Ini satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila kali pertama setiap pasukan bertanding menerima sebanyak RM1 hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran di mana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada Kerajaan.

“Dalam pada itu, skuad B23, B19 dan B16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia,” titahnya.


Pengarang :