SUKANKINI

FAM: Sokong Cheng Hoe bimbing Harimau Malaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MAC: Peminat bola sepak tempatan diminta memberi peluang kepada jurulatih, Tan Chen Hoe, membina kekuatan Harimau Malaya dan tidak terus mengkritik apabila gagal meraih kemenangan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, berkata keputusan seri 2 – 2 dalam perlawanan persahabatan menentang Mongolia, Khamis lalu, tidak boleh dijadikan ukuran berikutan ia perlawanan pertama di bawah kendalian bekas jurulatih Kedah itu.

“Cheng Hoe masih dalam tempoh permulaan untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 bermula 8 November depan.

“Barisan kejurulatihan masih cuba mencari kombinasi terbaik dan membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain dan saya yakin mereka akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan akan datang termasuk bertemu Lebanon, 27 Mac dan Nepal, 1 April nanti,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia gagal menundukkan Mongolia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, biarpun pasukan itu berada pada ranking lebih bawah berbanding Harimau Malaya iaitu 189.

Kali terakhir skuad kebangsaan mencatat kenenangan ke atas Kemboja 3-2 pada aksi sulung Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar, 20 November 2016 dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, peminat tidak boleh terus menyalahkan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kegagalan itu dan pengurusan FAM termasuk jurulatih dan pemain turut sama memikul tanggungjawab bagi memperbaikinya pada perlawanan akan datang.

“Penyokong perlu mencontohi penyokong di luar negara yang terus memberikan sokongan ketika menang atau kalah, bukannya terus mengkritik dan menghina pasukan setiap kali gagal mencatat kemenangan,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :