SELANGOR

Fasa 3 PIIP 80% dibeli IKS

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 6 MAC: Fasa 3C Taman Perindustrian Pulau Indah (PIIP 3), terus mencatatkan perkembangan positif dengan hasil jualan sebanyak 80 peratus sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn bhd, Dato’ Mahmud Abbas berkata fasa berkenaan kini dimiliki oleh pemain industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, Fasa 3C membabitkan 213 ekar itu terbuka untuk dijual kepada semua jenis perindustrian yang dilengkapi dengan kemudahan berkualiti, akses mudah ke lebuh raya utama dan tahap keselamatan.

“Selain lokasi strategik, kemudahan gaya hidup selesa melengkapkan industri perniagaan berkembang pesat,” katanya selepas merasmikan laluan berbasikal di PIIP, di sini.

Dalam program itu, laluan berbasikal itu merupakan sebahagian pembangunan bersepadu PIIP bagi Fasa 3A.

Ia dibangunkan sepanjang 20KM bertujuan mengintegrasikan industri dan gaya hidup sihat.

Terdahulu, kesemua Fasa 3A PIIP habis dijual manakala Fasa 3B akan dimulakan menjelang akhir tahun ini.

Central Spectrum bertanggungjawab membangunkan PIIP yang berkeluasan 3,500 ekar dengan menjana nilai pelaburan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Meliputi 800 ekar, Fasa 3 dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion serta nilai pelaburan dianggar RM3 bilion.

=EZY=


Pengarang :