SELANGOR

Fitnah Selangor: Bukti Najib dalam ‘ketakutan’ – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 MAC : Datuk Seri Najib Razak kini cemas dan ketakutan melihat kejayaan pentadbiran Selangor yang terus memacu kecermelangan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan itu memaksa Perdana Menteri itu melemparkan fitnah bagi memberikan imej buruk kepada pentadbiran Selangor.

“Semua tohmahan ini membuktikan mereka dalam keadaan nazak dan terdesak melontarkan fitnah yang tidak berasas.

“Contohnya membabitkan isu hartanah kononnya harga itu terlalu tinggi sedangkan realitinya 70 peratus harga Rumah Selangorku dijual di bawah RM200,000, sedangkan PR1MA dijual pada RM400,000.

“Sudah tentulah ini perbezaan besar, begitu juga aspek pencukaian yang mana Selangor menghapuskan cukai taksiran, fi lesen perniagaan dan banyak lagi,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan, baru-baru ini.

Terdahulu, Perdana Menteri turun padang di Parlimen Hulu Selangor dan terus melemparkan pelbagai fitnah terhadap pentadbiran Shah Alam kepada rakyat di kawasan itu.

Kenyataan tidak benar Najib itu turut dilaporkan media kawalan Umno, Berita Harian pada laporan muka hadapan akhbar itu, 8 Mac lalu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, Najib disifatkan sebagai individu yang bijak bermain retorik politik tanpa mengakui realiti sebenar pentadbiran Putrajaya di bawah Umno Barisan Nasional.

“Hakikatnya, GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang dilaksanakan Kerajaan Najib itu lebih membebankan.

“Nampak sangat Perdana Menteri tidak mampumengolah sesuatu isu yang lebih berkesan tetapi lebih memilih untuk memfitnah dan memburuk-burukkan Selangor,” katanya.


Pengarang :