SUKANKINI

FMLLP: Geran tahunan dibayar Rabu, 10 pasukan terlepas bayaran penuh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 MAC: 10 pasukan yang didenda antara RM500,000 hingga RM1.5 juta bakal terlepas geran tahunan penuh yang akan mula diberikan Rabu ini selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memutuskan untuk melakukan pemotongan terus.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, tindakan itu diambil susulan kegagalan pasukan berkenaan melengkapkan pendaftaran musim ini.

“Duit geran tahunan akan diberikan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana Rabu ini tetapi kami akan memotong jumlah bayaran mengikut jumlah denda masing-masing.

“Contohnya Selangor yang bermain dalam Liga Super sepatutunya mendapat RM3 juta geran tahunan tetapi hanya mendapat RM1.5 juta selepas ditolak duit denda.

“Bagaimanapun kami akan memulangkan semula geran tahunan itu jika jumlah denda dikurangkan selepas rayuan dibuat,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, rayuan kesemua pasukan akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan berharap keputusan boleh diketahui sebelum kongres FMLLP 25 Mac ini.

Sebelum ini FMLLP mengumumkan 10 pasukan yang gagal menghantar dokumen berdasarkan tarikh ditetapkan adalah Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor untuk Liga Super.

Manakala untuk Liga Premier pula melibatkan Kuantan FA, MIFA, Pulau Pinang, PDRM, Sarawak dan UKM FC.

=EZY=


Pengarang :