SELANGORSENI

Galeri Shah Alam lancar reka bentuk kulit album dalam buku

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Galeri Shah Alam (GSA) dengan kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) buat julung kali melancarkan pameran Seiring Reka Bentuk Kulit Album 12X12 oleh TAPA dan Seni Digital yang menghimpunkan karya Mustaffa Ahmad Hidzir.

Penolong Kurator, Ibrahim Bujal berkata, pameran itu turut menggabungkan dua pelukis digital iaitu Hairul Azizi, anak jati Terengganu dan Rachel Gray dari United Kingdom.

Katanya, lukisan digital adalah satu bentuk seni yang meripklasikan media artistik tradisional seperti cat air, minyak, pensel, arang dan arkilik, pada komputer menggunakan ‘stylus & tablet digital’.

“Perisian ini memudahkan pelukis menggunakan ‘stylus’ untuk menghasilkan kesan berus dan cat minyak.

“Jadi, dengan hanya menggunakan stylus, ia memberi peluang kepada pelukis untuk mengekalkan teknik dan kemahiran tradisional tetapi secara digital,” katanya di Galeri Shah Alam, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, TAPA adalah seorang pereka bentuk grafik yang berjaya menghasilkan banyak kulit album sejak zaman piring hitam sehingga kini.

“Saya kagum kerana beliau antara anak melayu pertama yang bergiat aktif dalam bidang ini dan ia perlu menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana berkecimpung dalam dunia seni grafik.

“Perubahan rupa bentuk kulit album daripada menggunakan wajah kepada elemen lain yang lebih pelbagai turut dicetuskan TAPA,” katanya.

Sementara itu, karya lukisan digital dan reka bentuk kulit album akan diperagakan, di Galeri Shah Alam sepanjang pameran yang berlangsung, bermula 6 hingga 30 Mac ini.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan penggiat seni negara, Datuk Ramli Sarip dan turut dihadiri beberapa pelukis grafik digital tanah air.


Pengarang :