SELANGOR

Gangguan air bukan salah negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Gangguan bekalan air yang berlaku di 427 kawasan sekitar Lembah Klang bukan salah Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana urusan penstrukturan industri air membabitkan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) belum dimuktamadkan.

Katanya, rundingan itu masih berjalan dan kedua-dua pihak diberi masa sehingga Julai depan untuk memuktamadkannya.

“Pada 26 Januari lalu, Air Selangor mendapati produktiviti bekalan air yang dikeluarkan SPLASH mengalami penyusutan.

“Bagaimanapun, Air Selangor tidak boleh masuk menjalankan siasatan dan meminta pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan.

“Hasilnya, kita mendapati ada pam yang perlu dinaiktaraf. Jadi, ia perlu diselenggarakan namun dalam garis panduan, loji tidak boleh ditutup seminggu sebelum atau selepas mana-mana perayaan, ketika itu Tahun Baru Cina,” katanya di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor mengeluarkan notis gangguan bekalan bermula 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, selepas siap berlaku letupan di tempat kerja pembaikian dan menyebabkan kecederaan pada lima petugas loji dan Air Selangor.

“Kita tidak mahu kemalangan ini berlaku. Jadi, saya harap semua pihak sabar dan tabah.

“Suasana fitnah ini biasa berlaku apabila dekat dengan pilihanraya. Lebih lagi ada pihak yang tidak senang dan cemburu dengan kejayaan kita,” katanya.


Pengarang :