NASIONAL

Gempa susulan selepas gempa bumi skala 5.2 gegar Sabah

KOTA KINABALU 8 MAC: Satu gempa bumi susulan pada kekuatan 2.8 skala Richter berlaku di Ranau pada kedalaman lima kilometer di dalam tanah pada 9.27 malam tadi.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

“Lokasi tepat gempa bumi adalah di kedudukan 6.04 latitud utara dan 116.6 longitud timur,” kata jabatan itu.

Sebelum itu, satu gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter melanda Ranau pada kira-kira pukul 9.06 malam ini.

Gempa bumi yang berpunca dari dalam tanah pada kedalaman kira-kira lima kilometer itu menyebabkan kesemua daerah di pantai barat Sabah merasai gegaran antara lima hingga 10 saat.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih mendapatkan maklumat lengkap tentang kejadian itu, namun mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Kejadian kali ini adalah gempa bumi paling kuat di Sabah selepas gempa bumi 5.9 pada skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 serta beberapa gempa susulan selepas itu.

Sementara itu MSTAR ONLINE melaporkan Lebih 100 pendaki bergegas turun ke tempat selamat di Laban Rata di Gunung Kinabalu selepas gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda kawasan Ranau di Sabah pada Khamis malam.

Presiden Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, tiada laporan kecederaan atau kerosakan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.06 malam.

Penduduk Kundasang berkata, gegaran kuat berlaku selama dua hingga tiga saat.

Gegarannya dirasai di bahagian barat Gunung Kinabalu dari Kota Belud, Tamparuli, Kiulu dan bandar di sini serta di Penampang dan Papar.

=EZY=

 

 

 


Pengarang :