SELANGOR

Generasi muda terus zahir sokongan kukuh

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Karnival Himpunan Rakyat yang bertemakan ‘Membangun Bangsa Memakmurkan Selangor Masa Depan Malaysia’ yang diadakan di Stadium Malawati di sini mendapat sambutan menggalakkan khususnya generasi muda.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kehadiran sambutan yang dipenuhi hampir separuhnya anak muda membuktikan rakyat Selangor terus mendukung dasar-dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kalau kita lihat kehadiran pada hari ini sebahagian besarnya adalah anak muda, menunjukkan golongan milennial hari ini merasakan aspirasi mereka dipenuhi oleh Kerajaan Negeri sejak kita diberikan mandat.

“Kita mahu membangunkan Selangor bukan sahaja maju dalam sektor ekonomi tetapi kita mahu jadikan negeri sebagai Negeri Penyayang yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta memberi perhatian kepada aspirasi golongan muda millenials,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, beliau yakin generasi muda juga adalah golongan yang cukup matang dalam menimbang baik buruk sesebuah kerajaan itu dengan pelbagai akses maklumat yang boleh diperolehi.

“Cuma saya sekadar mengingatkan bahawa tanggungjawab golongan milennial mencorak masa depan negara adalah milik mereka.

“Maka mereka harus berani membawa perubahan bukan sahaja mempertahan Selangor bahkan Malaysia akan terbentuk di bawah kerajaan baru yang peduli rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :