SELANGOR

GM Klang diiktiraf MBR pusat pemborong terbesar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Pusat Pemborong GM Klang diiktiraf sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Record (MBR).

Anugerah disampaikan wakil MBR dengan disaksikan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Teknologi Hijau dan Alam, Elizabeth Wong dan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung seiring dengan Majlis Anugerah MPK Care anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, dengan pengiktirafan sebagai batu loncatan kepada pihaknya untuk terus usaha melangkah menjadikan GM Klang sebagai pusat pemborong sehenti di Asia tenggara.

“Kami berbesar hati di atas pengiktirafan ini malah kami berterima kasih kepada MPK kerana sentiasa memberi sokongan penuh.

“Dengan wujudnya Stesen LRT 3 dalam masa tiga tahun akan datang, kami mensasarkan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikan GM Klang sebagai pusat perhentian serantau,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain itu, Seng Kok berkata, pencapaian itu bukan sahaja memberi reputasi baik kepada pusat pemborong itu malah dalam masa sama mengharumkan Bandar Diraja itu.

Mengulas lanjut Seng Kok berkata, setakat ini GM Klang mempunyai 2,500 unit kedai di tiga blok dan daripada jumlah tersebut 1,800 telah dipenuhi kira-kira 700 peniaga.

“GM Klang bermula dengan hanya satu blok setingkat pada 2009 menempatkan kira-kira 300 unit kedai sahaja, membuka blok kedua pada November 2012.

“Penerimaan yang baik daripada pengunjung ini telah membantu kami membina blok ketiga dengan 12 tingkat termasuk lima tingkat untuk kawasan letak kereta,” katanya.


Pengarang :