GLOBAL

Guru di Amerika berlatih guna pistol hadapi insiden tembakan

TEXAS 14 MAC: Sekumpulan guru di sini mula mempelajari teknik menggunakan pistol susulan insiden tembakan di sebuah sekolah tinggi di Parkland, Florida yang mengorbankan 17 orang termasuk tiga pendidik.

Seramai 16 guru dan kakita­ngan sekolah di utara negeri ini menjalani latihan mengendalikan senjata api di bandar Irving, Sabtu lalu.

Mereka menerima tunjuk ajar daripada bekas anggota polis Irving, Tim Bulot yang memiliki 30 tahun pengalaman mengendalikan senjata api.

Bulot juga merupakan pemilik Akademi Senjata Strategik Texas yang memberikan latihan kepada anggota polis dan kontraktor keselamatan.

“Kami lakukan yang terbaik untuk keselamatan di sekolah tetapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku. Adalah lebih baik untuk bersedia daripada tidak melakukan apa-apa,” kata seorang guru berkenaan, Kim Raney kepada CBS News.

Program dikenali sebagai Latihan Pistol Defensif untuk Guru itu disebarkan melalui media sosial.

Isu mempersenjatai guru sebagai cara untuk menjadikan sekolah lebih selamat hangat diperkatakan sejak insiden tembakan di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas pada 14 Februari lalu.

Presiden Donald Trump menggesa supaya latihan penggunaan senjata api diadakan untuk kakitangan sekolah yang berkelayakan.

SUMBER: AGENSI


Pengarang :