EKONOMI

Harga minyak mentah dunia meningkat

SEOUL 5 MAC: Harga minyak mentah meningkat hari ini menjelang mesyuarat antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan firma syal Amerika Syarikat (AS) di Houston.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia berikutan jangkaan bahawa pengeluar minyak akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai cara untuk mengatasi kemelut harga minyak global.

Menteri minyak daripada OPEC dan pemain minyak global lain dijangka berkumpul di Houston sempena persidangan industri tenaga terbesar, CERAWeek yang bermula hari ini.

Setiausaha OPEC, Jeneral Mohammad Barkindo dan pegawai OPEC yang lain dijangka mengadakan makan malam pada hari ini dengan firma syal AS.

Penanda aras antarabangsa Brent naik 36 cents, atau 0.6 peratus kepada AS$64.73 setong.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 35 cents, atau 0.6 peratus kepada AS$61.60 setong.

Pengeluaran minyak syal AS yang semakin meningkat telah memberi kesan kepada komitmen OPEC dalam menyelesaikan kemelut minyak mentah global yang semakin berpanjangan.

Syarikat tenaga AS menambah satu lagi pelantar minyak bagi minggu berakhir 2 Mac lalu dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 800, yang tertinggi sejak April 2015.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :