AGAMASELANGOR

Hari Terbuka Masjid Antarabangsa meriah, erat hubungan ahli kariah

OLEH SABIRAH AZIZ

BUKIT ANTARABANGSA, 18 MAC: Lebih 1,000 pengunjung hadir pada Hari Terbuka Masjid Antarabangsa yang diadakan buat julung kalinya bagi mengimarahkan masjid.

Pengarah programnya, Lt. Kolonel (B) Roslle Derohim berkata, pelbagai pengisian program dilaksanakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli kariah dan masyarakat.

“Terdapat pelbagai aktiviti diadakan seperti cabutan bertuah, kaunter informasi, kaunter bergerak Lembaga Zakat Selangor serta gerai jualan.

“Melalui aktiviti ini, sebanyak 28 gerai jualan dibuka kepada ahli kariah untuk menjual berbagai jenis produk seperti penjagaan kesihatan, makanan dan minuman yang turut mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Program itu berlangsung dari jam 5.45 pagi hingga 4 petang, Sabtu, yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui program itu, Infaq Jutawan Akhirat turut dilancarkan bertujuan mengumpul dana bagi kos operasi masjid.

Nazir masjid, Zulkifli Ahmad berkata, kos operasi masjid semakin meningkat sebanyak 26 peratus sejak dua tahun lalu yang mana kutipan Jumaat dan tabung masjid tidak dapat menampung perbelanjaan berkenaan.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam khususnya ahli kariah masjid untuk sama-sama membantu dalam memastikan sumber kewangan masjid mencukupi bagi membiayai kos berkenaan.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita berpeluang untuk menginfakkan sedikit rezeki untuk dilaburkan ke saham akhirat kita kelak tanpa mengira berapakah nilainya.

“Apabila sumbangan ini dikumpulkan, maka lama-lama ia akan menjadi besar. Marilah kita bersama-sama mengamalkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, katanya.

=EZY=


Pengarang :