SUKANKINI

Harry Kane dijangka kembali awal April

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 15 MAC: Penyerang Tottenham Hotspur dan England, Harry Kane dijangka kembali menyertai latihan awal bulan hadapan selepas menjalani pemeriksaan awal susulan kecederaan ligamen buku lali kanan.

Akhbar tempatan melaporkan, Kane akan tersisih sehingga Mei selepas cedera ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 1-4 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu dan ia bakal menjejaskan kedudukannya bersama skuad The Three Lions menghadapi Piala Dunia 2018.

Pemain berusia 24 tahun itu menerusi laman Twitter melahirkan kekecewaan susulan tidak dapat meneruskan baki perlawanan musim ini dan akan melakukan yang terbaik untuk kembali beraksi.

“Mengecewakan untuk keluar sehingga bulan depan tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada permainan. Saya akan melakukan segalanya untuk kembali secapat mungkin,” katanya.

Kane bakal terlepas enam perlawanan termasuk peringkat suku akhir Piala FA Inggeris bertemu Swansea, Sabtu ini.

Beliau sebelum ini pernah mengalami kecederaan sama dua kali musim lalu ketika bertemu Millwall dalam perlawanan Piala FA pada Mac dan menentang Sunderland pada September 2017.

Keadaan ini pastinya menyukarkan jurulatih England, Gareth Southgate yang mempunyai pemain terhad di barisan serangan selain Raheem Sterling dan Jamie Vardy.

Foto Kredit: Skysports.com


Pengarang :