SELANGOR

HIJRAH jalin hubungan erat bersama usahawan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 23 MAC: Yayasan Hijrah Selangor melaksana program Lawatan dan Aktiviti ‘Indoor Game’ untuk anak usahawan sempena cuti sekolah bagi mengeratkan hubungan usahawan dan pihak pengurusan HIJRAH.

Ketua Pegawai Eksekutif HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama McDonald Bukit Tinggi dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Katanya, ia diadakan bertujuan membina jalinan yang lebih erat antara peserta HIJRAH dan anak.

“Selain dapat mengeratkan hubungan bersama usahawan, secara tidak langsung mereka akan lebih setia bersama HIJRAH dan bayaran balik juga menjadi lancar. Selain itu, kita juga bukan hanya mahu usahawan ini berjaya dalam perniagaan tetapi turut cemerlang dalam membangunkan keluarga yang bahagia dan maju,” katanya kepada SelangorKini.

Roslim berkata, seramai 30 anak usahawan antara umur lima hingga 12 tahun menyertai beberapa program yang dilaksanakan HIJRAH termasuk pertandingan mewarna, program membaca buku bersama PPAS, pertandingan congkak juga sesi bersama beads dan borders.

Tambahnya lagi, Hijrah turut mengambil berat hal pendidikan anak-anak usahawannya dari segi pembelajaran.

“Kita juga mengadakan program seminar ketika cuti sekolah khusus bagi mereka yang bakal menduduki UPSR, PT3 dan SPM.

“Selain itu, HIJRAH juga berkolaborasi dengan Universiti Selangor (UNISEL) dalam mengadakan program bertujuan memberi pendedahan suasana di institusi pengajian tinggi kepada mereka sebagai motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran.

“Oleh itu, HIJRAH amat menggalakkan syarikat swasta dan agensi kerajaan yang ingin melaksanakan CSR turut serta dalam program yang bakal kita laksanakan bersama usahawan,” katanya.

Sementara itu, peserta HIJRAH, Nazurah Abd Hamid, 30, berkata program itu memberi ruang kepada usahawan untuk meluangkan masa bersama anak ketika musim cuti sekolah.

“Program ini bagus untuk ibu bapa dan anak untuk luangkan masa kerana mungkin sebelum ini kita terlalu sibuk berniaga jadi masa untuk mereka kurang.

“Selain itu, melalui program ini juga kita dapat mengenal usahawan lain dan secara tidak langsung berkongsi ilmu perniagaan antara peserta,” katanya.

Manakala Duta Khidmat Pelanggan Mcdonalds Bukit Tinggi, Rosniati Nasarun, 24, berkata pihaknya berbesar hati dan gembira dapat menjalin kerjasama dengan HIJRAH kerana dapat mengerat hubungan Mcdonalds dan masyarakat.


Pengarang :