PBTSELANGOR

i-Kajang dahului inisiatif aduan PBT Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC : Aplikasi i-Kajang yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terus memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan sejak 2016 lalu kini dipermudah cara selari perkembangan teknologi sosial masa kini.

“Apabila sudah terlalu banyak medium aduan, MPKj mempertimbang untuk melibat sebarang penambahbaikan bagi membolehkan masyarakat mendapat manfaat daripada pelaksanaan aplikasi berkenaan.

“Malah untuk rekod, i-Kajang merupakan projek permulaan kepada PBT lain bagi mengatasi sebarang masalah setempat di kawasan kejiranan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di Ibu Pejabat MPKj, baru-baru ini.

Terdahulu, i-Kajang merupakan aplikasi yang boleh dimuat turun di aplikasi telefon pintar dengan kemudahan membuat aduan kepada masyarakat setempat.

Pelaksanaan aplikasi berkenaan mampu menjimat kos operasi MPKj untuk mendapatkan sebarang respon balas pengguna terhadap aspek komuniti di kawasan MPKj.

Orang ramai kini digalakkan melaporkan secara spontan kejadian atau masalah berhubung perbandaran seperti tanah runtuh, lampu jalan rosak atau banjir melalui aplikasi itu.

=EZY=


Pengarang :