PENDIDIKANSELANGOR

IKTISASS meriah, tarik perhatian generasi muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 25 MAC: Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) 2018 dijayakan Kerajaan Negeri di Sunway Convention Centre di sini, berlangsung meriah dengan penyertaan ramai khususnya golongan anak muda.

Majlis berlangsung mulai Jumaat hingga hari ini disempurnakan perasmiannya oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Program dijayakan itu memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendapat maklumat bagi menyambung pengajian ditawarkan menerusi kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

Kira-kira 30 gerai pameran tersedia dengan penyertaan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan wakil industri bagi kemudahan orang ramai mendapatkan maklumat diperlukan.

Antara aktiviti dijalankan ialah forum dan taklimat berkaitan kerjaya, sesi temu bual, pertandingan e-game serta pelbagai acara dengan hadiah menarik juga cabutan bertuah.

Program turut diserikan ddegan persembahan artis antaranya Amy Search, Haqiem Rosli, Atilia Haron, Wany Hasrita dan Talitha Tan.

 


Pengarang :