BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

IKTISASS: Peluang lepasan SPM ceburi industri berimpak tinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Anak muda khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini berpeluang hadir ke pelancaran program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi mencari peluang dalam pelbagai bidang industri berimpak tinggi.

Pameran itu memberi peluang lepasan pelajar menyambung pelajaran dalam bidang yang ditawarkan menerusi kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

Pelancaran program itu turut menyediakan kira-kira 30 gerai pameran daripada wakil industri terpilih antaranya Kolej Antarabangsa INPENS, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) dan STRAND Aerospace Malaysia.

Ia diadakan pada 24 hingga 25 Mac ini di Sunway Convention Centre bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijadualkan merasmikan program terbabit pada Ahad (25 Mac) jam 10.30 pagi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang pameran itu ialah forum dan taklimat tentang kerjaya masa hadapan, pertandingan e-game, FIFA 18 dan konsoi interaktif juga hadiah menarik dan cabutan bertuah kepada pengunjung.

Turut diadakan program teknologi kejuruteraan, kerjaya berimpak tinggi, program Selangor SME, program i-Hit, Selangor Meister Apprenticeship, pertunjukkan fesyen, pemasangan dan penyelenggaraan solar serta program MESTI Digital.

Pameran terbabit turut diserikan dengan kemunculan penyanyi, Hakem Rosli, Amy Search dan Wany Hasrita. Turut dijemput Angkawasan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar serta artis Atilia Haron, Talitha Tan, Adeline Tsen dan Dosha Logan serta usahawan Christy Ng.

=EZY=


Pengarang :