BERITA UTAMASELANGOR

IKTISASS persediaan tempuh cabaran Revolusi Industri 4.0

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 25 MAC: Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) secara rasmi dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Piramid.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM52 juta untuk program ini yang mewakili 51 peratus daripada peruntukan pendidikan tinggi berjumlah RM101.73 juta.

Dalam ucaptama Mohamed Azmin berkata usaha ini membuktikan Kerajaan Negeri serius membangunkan latihan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional bagi memenuhi aspirasi Milenials demi menjami kebolehpasaran.

“Sebagai regional smart state, Selangor bukan sahaja memerlukan satu lonjakan bakat untuk mendepani cabaran teknologi semasa, tetapi perlu sentiasa ke hadapan untuk memperbaiki tahap persaingan negara di rantau ASEAN dan seterusnya ‘move up the Global Competitiveness Rating’.

“Sebagai gedung kuasa ekonomi negara, Selangor mesti menerajui inisiatif untuk menyediakan modal insan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran Industri 4.0 yang akan mendatangkan pelbagai ‘disruption.’

“Mulai tahun 2018, program IKTISASS dilaksanakan dan akan menjadi ‘touchstone’ dalam perkembangan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat nasional,” katanya.

Melalui program ini, Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya 2,000 anak muda Selangor dalam pelbagai kemahiran dengan rakan strategik termasuk kepakaran Strand Aerospace, INPENS, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy.

Katanya, Kerajaan Negeri sangat komited dalam memastikan jumlah tenaga mahir dipertingkatkan agar mencapai sasaran 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memastikan Selangor kekal gah sebagai negeri perindustrian berpendapatan tinggi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menggalakkan sistem perantisan aras tinggi atau high level apprenticeship di kalangan pihak industri terlibat.

“Melalui sistem ini, pihak industri akan turut serta secara aktif dalam melatih bakal pekerja dengan konsep pelaksanaan place-and-train, yang ternyata memanfaatkan semua pihak yang terlibat.

“Dengan menaik taraf rantaian nilai atau value chain, serta menggunakan pelbagai aplikasi selaras dengan Industri 4.0, sektor perkilangan di Selangor akan mampu dipertingkatkan setaraf dengan negara-negara maju seperti di Eropah dan Jepun,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut meluangkan masa melawat beberapa gerai pameran sempena pelancaran IKTISASS 2018.

Antara yang mengambil bahagian adalah Strand Aerospace, INPENS, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy.

=EZY=

 


Pengarang :