EKONOMISELANGOR

IKTISASS wadah ‘millenials’ berkemahiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang diasaskan Kerajaan Negeri merupakan wadah kepada pembangunan ‘millenials’ berkemahiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, program terbabit bakal melahirkan generasi berkemahiran, berkarektor sekaligus melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional.

“Ramai anak muda atau golongan belia ketika ini tidak mengetahui kursus kemahiran yang ditawarkan juga peluang yang disediakan. Jadi, dengan adanya IKTISASS ia akan dapat membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk belajar bidang yang diinginkan.

“IKTISASS juga merupakan program yang terbaik kerana ia turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak industri,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, katanya, INPENS turut membuka gerai pameran di Majlis Pelancaran IKTISASS di Sunway Convention Centre pada 24 – 25 Mac ini.

Ahmad Zabri berkata pihaknya menyasarkan lebih 5,000 pengunjung ke booth pameran INPENS.

“INPENS menawarkan bidang utama atau bidang-bidang kemahiran berimpak industri 4.0 antaranya Automotif, Elektrik dan Penyamanan Udara.

“Tidak ketinggalan INPENS juga menawarkan banyak lagi pilihan bidang kemahiran sebagai usaha memangkin kejayaan misi Smart Selangor yang giat dijalankan antaranya elektronik, sistem komputer, motosikal, dandanan rambut, kulinari, pastri, kecantikan dan pembuat pakaian,” katanya.

Terdahulu, INPENS mencatat rekod baru apabila seramai 650 pelajar baharu mendaftar di kolej itu bagi pengambilan pelajar 2018.

Ia mengatasi catatan terdahulu bagi INPENS dengan angka tertinggi direkodkan bagi pengambilan sebelumnya adalah berjumlah 500 pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Perkembangan itu membuktikan kalangan pelajar menyedari TVET adalah bidang yang menjadi keutamaan di banyak industri.

=EZY=


Pengarang :