BERITA UTAMANASIONAL

Indeks Tanggapan Rasuah negara masih kritikal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 MAC: Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) Transparency International negara mencatat kedudukan terburuk sejak 2015 hingga kini.

Presiden Transparency International Malaysia, Dato’ Akhbar Satar berkata, kedudukan CPI negara juga diramal akan terus merosot untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, isu pembabitan wang politik seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal korupsi Felda Global Venture (FGV) adalah punca kepada prestasi buruk itu.

“Malah, hasrat negara untuk berada dalam kelompok 30 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2020 adalah tidak realistik sama sekali.

“Angan-angan untuk mencapai ke tahap itu dilihat samar selagi tiada penyelesaian tuntas terhadap isu ini,” katanya ketika berucap di Forum Demokrasi: Malaysia Menuju Negara Korupsi, Fakta atau Propaganda, di Institut Darul Ehsan, semalam.

Pada masa sama, Akhbar turut menegaskan, tadbir urus negara perlu lebih diperketatkan bagi mengelakkan kepincangan peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah.

“Penyelewangan demi kepentingan peribadi bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi negara, bahkan memberi impak terhadap prestasi semasa CPI negara,” katanya.

Sementara itu, Akhbar berkata, negara perlu mencontohi negara ASEAN lain seperti United Arab Emirates (UAE), Qatar dan Jordan yang sentiasa berpegang pada prinsip integriti juga berasaskan kepada al-Quran serta hadis dalam pentadbiran.

Terdahulu, beliau membentangkan CPI semasa yang menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-62 daripada 175 negara apabila mengumpul 47 mata.

Bagaimanapun, catatan itu merosot tujuh anak tangga berbanding indeks dikeluarkan pada 2016 apabila negara berada pada kedudukan ke-55 dengan 49 mata.


Pengarang :